suria

Usul Undi Tidak Percaya Terhadap PM Ditarik Balik

KUALA LUMPUR: Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya ditarik balik oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said pada Isnin berkata usul Loy Sian yang telah diletakkan dalam kertas aturan urusan mesyuarat dan usul-usul di susunan ke-27 telah ditarik balik oleh ahli Parlimen PKR itu sendiri.

"Dengan ini diumumkan bahawa usul yang dikemukakan oleh PJ Selatan telah ditarik balik melalui notis bertulis yang dikemukakannya kepada pejabat Speaker," kata Ismail sebelum memulakan persidangan Dewan Rakyat, Isnin.

Penarikan semula usul itu dibuat setelah usul tidak percaya terhadap PM yang baharu telah dihantar oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 22 Oktober lalu.

Sebelum itu, Loy Sian terlebih dahulu mengemukakan usul tersebut pada 17 Oktober.

Dalam usulnya, Loy Sian memfokuskan dakwaan bahawa perdana menteri gagal memberi penjelasan berhubung wang derma bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Malah, usul itu turut mempertikaikan siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Petaling Jaya Selatan

Artikel Lain