suria

Peka Sedia Kemuka Bukti Aktiviti Pembalakan Di Kawasan Hutan Lentang

Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil. -foto M. Azhar Arif/THE STAR
BENTONG: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) sedia tampil untuk mengemukakan bukti bahawa terdapat kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal Lentang sebelum kejadian banjir lumpur  di Km52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur (KL)-Karak pada petang Rabu lepas.

Presidennya Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata pertubuhan bukan kerajaan itu telah meninjau kawasan pembalakan yang dikatakan untuk tujuan laluan projek menara talian elektrik dan mempunyai gambar-gambar yang boleh membuktikan wujudnya aktiviti tersebut.

"Sebelum insiden ini berlaku, Peka sendiri pada tahun lepas telah masuk ke kawasan terlibat yang tidak jauh dari kawasan kejadian banjir lumpur dan mendapati terdapat jalan merah tiga lorong untuk laluan balak.

"Kami mempunyai gambar yang jelas untuk membuktikan perkara itu selain keadaan air Sungai Benus di Hutan Lipur Lentang yang dahulu jernih dan kini bertukar menjadi keruh sudah cukup untuk menceritakan tentang keadaan itu.

"Kejadian banjir lumpur yang berlaku pada Rabu lepas juga bukti jelas ia merupakan kesan kegiatan pembalakan yang berlaku sebelum ini," katanya kepada Bernama di sini Ahad.

Kegiatan pembalakan tidak terkawal di kawasan berhampirn dikatakan antara punca kejadian banjir lumpur di Km52.4 Lebuhraya KL-karak dan ia tidak dinafikan oleh Anih Berhad sehari selepas kejadian yang menyatakan terdapat 'aktiviti' di luar kawasan penyelenggaraan syarikat pemegang konsensi lebuh raya itu.

Namun Jabatan Perhutanan Pahang dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menafikan kegiatan pembalakan menjadi punca kejadian tersebut yang menyebabkan lebuhraya berkenaan terpaksa ditutup selama empat hari.

Shariffa Sabrina berkata, perkara yang disuarakan oleh Peka selama ini berhubung perkara itu hanyalah untuk memelihara khazanah alam sekitar dan bukannya mempunyai agenda peribadi mahupun politik.

Bernama sebelum ini pernah melaporkan tentang kebimbangan penduduk Janda Baik berhubung kegiatan pembalakan tidak terkawal yang didakwa dilakukan di kawasan Hutan Simpan Kekal Lentang tersebut yang dikhuatiri akan menjejaskan kawasan tadahan air selain pelbagai khazanah alam yang bernilai.

Sementara itu, seorang daripada anggota keluarga kakitangan Jabatan Perhutanan Pahang di Lentang yang terjejas dalam kejadian banjir lumpur Rabu lepas tidak menafikan berlaku kegiatan pembalakan di kawasan itu.

"Memang kenderaan membawa kayu balak sering keluar masuk berhampiran kawasan rumah kami namun sejak empat lima bulan lepas sudah tidak kelihatan," katanya yang enggan namanya disiarkan ketika ditemui di Masjid Lentang di sini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain