suria

"Biar Pakar Kesihatan Putuskan Mengenai Vape" - Ong

IPOH: Peniaga vape di negara ini tidak akan dibenarkan untuk memasarkan produk mereka di peringkat antarabangsa sekiranya vaping didapati berbahaya kepada kesihatan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Ong berkata terdapat pengecualian tertentu dalam perdagangan terutamanya apabila ia melibatkan perkara yang dianggapi sebagai berisiko atau berbahaya kepada orang ramai.

"Kita perlu terlebih dahulu mengambil kira sama ada vaping berbahaya kepada kesihatan.

"Terdapat pengecualian dalam perdagangan walaupun trend semasa global dan pasaran terbuka antara negara lain.

"Sekiranya ia berbahaya kepada kesihatan, prinsip perdagangan itu tidak akan digunapakai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri makan malam sempena ulang tahun ke-119 Tokong Tow Boo Keong di sini, Rabu.

Ong berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan peniaga vape di China dan Malaysia bahawa serbuan terhadap produk itu baru-baru ini akan menjejaskan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Peniaga tempatan mengeksport cecair vape ke China dan mengimport produk tersebut dari negara itu.

Pengerusi Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Allan Foo dilaporkan sebagai berkata Malaysia merupakan pasaran kedua terbesar di dunia untuk produk vape dari segi kuasa membeli selepas Amerika Syarikat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkata beliau berharap usahawan muda tempatan mengembangkan perniagaan vape ke peringkat global.

Ong berkata Kementerian Kesihatan perlu menjalankan kajian secara menyeluruh mengenai vaping kerana terdapat pandangan yang bercanggah sama ada produk itu berbahaya kepada kesihatan atau sebaliknya.

"Biarlah pakar-pakar kesihatan membincangkan perkara ini terlebih dahulu. Apabila kata putus dicapai, rakyat boleh membuat keputusan sendiri sama atau meneruskan atau berhenti menggunakan produk itu.

"Sama seperti rokok, nasihat yang mencukupi diberikan kepada rakyat tentang penyebab penyakit kanser ini. Ia terpulang kepada rakyat untuk menilainya," kata Ong.

Beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan untuk tampil dengan kesimpulan secepat yang mungkin.

"Terdapat kira-kira satu juta rakyat yang terlibat dengan vaping dan jumlah itu mungkin bertambah sehingga lima juta dalam tempoh lima tahun.

"Jika ia didapati berbahaya, jadi sudah terlambat untuk menghentikannya kerana ia sudah menjadi kebiasaan di kalangan rakyat," katanya.

Ong berkata kerajaan tidak akan mengharamkan industri vape dan mencadangkan agar ia dikawal selia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain