suria

Aktivis Didakwa Terbitkan Penerbitan Menghasut Berhubung Keputusan Kes Liwat Anwar

KUALA LUMPUR: Seorang aktivis pembangkang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Jumaat atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lawrence Jayaraj Edwin John, 46, jurujual kereta terpakai, didakwa menerbitkan penerbitan itu di satu laman Facebook di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah, Aras 2, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada pukul 4.45 petang, 12 Februari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bapa kepada tujuh orang anak itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menggunakan perkhidmatan aplikasi internet bagi membuat dan memulakan penghantaran komen dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di laman Facebook pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan bagi kesalahan seterusnya, boleh dipenjara sehingga lima tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan dua orang penjamin atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan jumlah jaminan itu memadai bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah.

Ketika rayuan bagi mengurangkan hukuman, peguam Eric Paulsen yang mewakili Jayaraj memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM2,000 kerana anak guamnya, yang mempunyai pendapatan RM900 sebulan, merupakan penanggung tunggal keluarga.

Hakim Azman Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua orang penjamin terdiri daripada waris terdekat.

Isteri dan abang tertuduh membayar wang jaminan itu.

Mahkamah menetapkan 6 Januari tahun depan untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. - BERNAMA

Artikel Lain