suria

Tiada Kompromi Terhadap Pihak Cemar Alam Sekitar - Wan Junaidi

SOOK: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak sama ada kilang yang sebahagian kepentingannya dimiliki kerajaan atau milik individu jika aktiviti mereka mencemarkan dan merosakkan alam sekitar.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tindakan tegas perlu diambil demi memelihara alam sekitar kerana kos memulihkan alam sekitar yang rosak adalah lebih besar berbanding kos pemeliharaan dan pencegahan daripada tercemar.

"Sebab itu, saya tegaskan, mana-mana pihak sama ada syarikat kuari di sungai atau apa sahaja kilang di seluruh negara supaya tidak mencemari alam sekitar. Kita akan mengambil tindakan dan kita akan tegas," katanya kepada pemberita selepas meninjau pencemaran Sungai Kuala Punteh dekat sini, Khamis.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Kamarlin Ombi dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Halimah Hasan.

Wan Junaidi berkata walaupun kementerian itu menyedari kerugian yang terpaksa ditanggung pihak syarikat, kerajaan dan rakyat jika tindakan seperti menutup kilang atau operasi syarikat diambil, namun pihaknya mesti tegas kerana kerja memulihkan alam sekitar bukannya mudah.

Mengenai tinjauannya ke Sungai Kuala Punteh, Wan Junaini berkata JAS telah mengeluarkan arahan henti operasi dari 5 hingga 7 Mac lepas kepada sebuah kilang kelapa sawit yang disyaki bertanggungjawab menyebabkan pencemaran air di sungai berkenaan.

Sejak arahan henti operasi dikeluarkan, katanya pihak kilang itu mengambil banyak langkah pembaikan terhadap pengurusan pembuangan bahan kumbahannya tetapi JAS terus memantau operasinya bagi memastikan semua garis panduan dipatuhi.

Menurutnya pemantauan berterusan itu perlu dilakukan kerana para penduduk di enam kampung ekitar Sungai Kuala Punteh bergantung kepada sungai berkenaan bagi mendapatkan bekalan air terutama pada musim kering.

Sementara itu, Wan Junaidi meminta semua pihak supaya tidak menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah atau penyaluran bahan kumbahan seperti najis bagi memastikan sumber air semulajadi terus dipelihara.

"Sungai bukan sahaja sumber air minuman, pengangkutan dan kehidupan malah boleh dijadikan sebagai kemudahan rekreasi dan produk pelancongan," katanya.--Bernama




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain