suria

Wakil Masyarakat Jadi Mata, Telinga Majlis Agama

Dr Abd Shukor Husin.

PETALING JAYA: Pemimpin masyarakat setempat di kalangan penghulu, imam dan ketua mukim disarankan menjadi mata dan telinga kepada majlis agama Islam setiap negeri untuk mengenal pasti asnaf yang layak menerima bantuan zakat khususnya mualaf.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, peranan golongan tersebut adalah penting bagi memastikan bantuan zakat sampai ke tangan mualaf yang berdepan kesulitan untuk memulakan kehidupan baharu.

"Di kampung-kampung, kita ada penghulu, imam masjid dan ketua mukim, mereka ini amat dekat dengan masyarakat.  Jadi kita minta mereka untuk tengokkan individu yang layak menerima zakat dan maklumkan mengenainya kepada majlis agama di daerah masing-masing," katanya kepada mStar Online.

Malah Abd Shukor berkata, wakil masyarakat setempat boleh disifatkan sebagai 'orang tengah' antara majlis agama Islam negeri dan mualaf dalam soal permohonan bantuan zakat.

"Saya sering menghadiri mesyuarat lembaga zakat dan dimaklumkan bahawa majlis agama Islam negeri bukan sahaja telah berhubung dengan pejabat zakat daerah tetapi juga imam dan ketua kampung.

"Jadi, mualaf yang benar-benar memerlukan bantuan digalakkan untuk bertemu terus dengan imam atau ke pejabat zakat daerah dan isi borang yang sediakan. Kalau cukup syarat permohonan akan dipertimbangkan dengan segera," katanya.

Jelas beliau, imam yang mengislamkan saudara baharu khususnya di kawasan kampung juga disarankan untuk membawa individu terbabit supaya mendaftarkan pengislaman di pejabat agama terdekat.

"Saya tak nampak memeluk Islam di kampung sebagai satu masalah. Apa yang penting, Imam perlu membawa mereka untuk mendaftarkan pengislaman secara rasmi di pejabat agama berdekatan," katanya.

Menurut beliau, pendaftaran tersebut perlu disegerakan bagi mengelakkan timbul sebarang kekeliruan di kemudian hari.

"Jika mereka sudah berdaftar, majlis agama negeri atau pusat zakat akan menjejaki mereka dengan mudah. Malah, pendaftaran ini penting apabila berlaku kematian. Kalau tak ada sijil atau kad akuan memeluk agama Islam maka akan timbul kekeliruan. Itu yang kita nak elakkan," katanya.

Jelas Abd Shukor lagi, pihak bertanggungjawab haruslah memaklumkan kepada mualaf mengenai bantuan zakat dan hak-hak istimewa yang layak dinikmati mereka.

"Saya sarankan agar iklan mengenai zakat diperbanyakkan. Malah maklumat mengenai hak-hak mereka perlu disampaikan menerusi saluran yang difikirkan perlu seperti di laman web majlis agama negeri atau pusat zakat.

"Saya percaya golongan ini akan berdepan pelbagai dugaan untuk memulakan kehidupan baru. Jadi saya fikir zakat perlu diberikan untuk memenuhi keperluan mereka selepas memeluk Islam," katanya.

Beliau berkata, zakat boleh membantu membangunkan iman dan sosioekonomi mualaf yang berdepan kesukaran untuk memulakan kehidupan baharu mereka.

"Ertinya di sini, kita bantu untuk permudahkan urusan mereka, bukan jadikan mereka lebih susah berbanding kehidupan mereka sebelum memeluk Islam," katanya.

Tambah beliau, pihak berwajib juga perlu mempergiatkan usaha mengesan asnaf mualaf yang terabai daripada menerima bantuan zakat.

Pada masa sama, Abd Shukor turut menasihatkan golongan tersebut supaya berhubung terus dengan majlis agama Islam atau pusat zakat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan yang disediakan kepada mereka.

"Saya rasa tak ada sebab mereka tak tahu mengenainya (zakat) kerana komunikasi sekarang dah mudah. Mereka boleh berurusan melalui telefon atau mendapat maklumat menerusi laman web lembaga zakat," katanya.

Artikel Lain