suria

Skandal 1MDB Tidak Jejas Kemasukan Pelabur Asing - Najib

KUALA LUMPUR: Dakwaan skandal membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak menjejaskan aliran masuk pelabur asing ke negara ini, demikian menurut Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut perdana menteri, keyakinan pelabur asing terhadap perkembangan ekonomi Malaysia dapat dibuktikan melalui peningkatan aliran masuk pelaburan asing (FDI) untuk tempoh separuh pertama tahun ini.

"Keadaan ini dapat digambarkan melalui peningkatan aliran masuk pelaburan FDI sebanyak RM22.4 bilion dalam tempoh separuh pertama 2015.

"Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding RM17.5 bilion yang dicatatkan dalam tempoh separuh kedua 2014," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baru) mengenai kesan kemasukan pelabur asing ke Malaysia selepas tercetusnya isu membabitkan 1MDB.

Selain itu Najib memberitahu Dewan Rakyat bahawa keyakinan pelabur asing ke Malaysia juga bersandarkan kepada prospek ekonomi negara secara menyeluruh.

"Pelaburan asing di Malaysia merupakan pelabur jangka panjang yang telah mengambil kira prospek perkembangan ekonomi Malaysia secara menyeluruh termasuk asas makroekonomi yang kukuh.

"Ia termasuk kadar pengangguran yang rendah, tabungan negara yang tinggi, rizab antarabangsa yang mencukupi dan hutang kerajaan yang terkawal.

"Perangkaan terkini menunjukkan para pelabur masih mempunyai keyakinan terhadap ekonomi Malaysia yang mapan," katanya.

1MDB, FDI

Artikel Sebelum

Peminat Rajnikanth Serbu Bangsar

Artikel Berikut

Artikel Lain