suria

Tabung Haji Jangka Terima Laporan Insiden Kren Tumbang Bulan Depan

KUALA KETIL: Pihak Tabung Haji (TH) dijangka menerima laporan lengkap berkenaan insiden kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah yang mengorbankan lebih 100 jemaah haji termasuk tujuh rakyat Malaysia, bulan depan. 

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pegawai TH juga akan ke Arab Saudi tidak lama lagi untuk menguruskan pemberian wang pampasan oleh kerajaan negara itu kepada mangsa kren tumbang negara ini.

Kerajaan Arab Saudi telah bersetuju untuk memberikan pampasan sebanyak RM1.1 juta kepada keluarga setiap mangsa kren tumbang itu yang meninggal dunia.

"Kita akan dapat (laporan insiden kren tumbang) pada bulan 12 ini (Disember), insya-Allah," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Perpaduan Deepavali bersama Masyarakat India Parlimen Baling, Ahad.

Abdul Azeez yang juga Anggota Parlimen Baling turut memberikan sumbangan kepada kaum India di kawasan parlimen itu yang bakal merayakan sambutan Deepavali sembilan hari lagi.

Menurutnya, setiap tahun pihaknya menghulurkan pelbagai jenis bantuan kepada mereka dan tidak akan meminggirkan kebajikan mereka dari segi pembinaan kuil dan rumah untuk kaum India. - Bernama

Artikel Lain