suria

Peranan Saya Dalam PAC Lebih Penting - Tony Pua

Tony Pua.

KUALA LUMPUR: Tony Pua berkata, peranannya dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah lebih penting berbanding "melayan" Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

Pua yang merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, permintaan Arul Kanda yang menuntut beliau supaya meletakkan jawatan sebagai anggota PAC adalah "syarat tidak masuk akal" untuk terlibat dalam debat di TV mengenai isu 1MDB.

"Tugas dan tanggungjawab rasmi saya sebagai anggota PAC kepada orang awam adalah jauh lebih penting daripada melayani permainan Arul Kanda yang remeh-temeh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pua mendakwa bahawa sekiranya beliau disingkirkan dari PAC, anggota lain terutama dari Barisan Nasional (BN) akan "mudah untuk menipu" yang mengakibatkan "versi laporan yang lemah" mengenai siasatan terhadap 1MDB.

Beliau mengulangi pendiriannya bahawa tiada konflik berkepentingan dengan menjadi anggota PAC dan berdebat dengan Arul Kanda di televisyen.

"Konflik berbangkit sekiranya saya merupakan pihak berkaitan dengan 1MDB yang sedang disiasat. Saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Arul Kanda atau 1MDB, jadi bagaimana ada konflik berkepentingan," katanya.

Pua berkata, adalah lebih baik untuk mempunyai perdebatan supaya presiden 1MDB itu boleh menjawab kepada semua rakyat Malaysia berbanding mengeluarkan kenyataan media setiap hari.

Beliau berkata, Arul seolah-olah cuba mengelak daripada jemputan perdebatan di TV dengan berpura-pura menyahut cabaran itu dan tidak memberikan jawapan kepada "asas soalan".

Tony Pua, 1MDB, PAC, Arul Kanda Kandasamy

Artikel Berikut

Remaja Lemas Mandi Di Tasik

Artikel Lain