suria

Tiga Lebuh Raya Di Selangor Penting Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR: Kelulusan pembinaan tiga lebuh raya oleh kerajaan negeri Selangor adalah rasional demi kepentingan rakyat, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, kerajaan memang mengharapkan adanya lebuh raya tambahan dibina di negeri itu untuk menyelesaikan masalah trafik yang tidak boleh lagi ditampung oleh lebuh raya sedia ada.

"Selain bermanfaat kepada ekonomi, ia akan memberikan manfaat besar kepada rakyat Selangor dan sekitarnya.

"Dulu masa KIDEX dibatalkan, kita terima banyak rungutan bahawa lebuh raya seperti Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) sudah cukup sesak dan tahap perkhidmatannya memang sudah capai tahap maksimum," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Kementerian Kerja Raya 2015 di sini, Khamis.

Justeru, katanya, rakyat termasuk rakyat Selangor memerlukan lebuh raya baharu untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang mereka hadapi sekarang.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dilaporkan telah meluluskan tiga projek lebuh raya di negeri itu iaitu Projek Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE).

Bagaimana keputusan tersebut dilaporkan menjadi isu apabila keputusan berkenaan dibuat tanpa dimaklumkan pada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengulas lanjut, Fadillah berkata kelulusan lebuh raya yang melibatkan jalan negeri adalah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Ia adalah keputusan kerajaan negeri dan bukan hanya keputusan kerajaan persekutuan sahaja.

"Untuk memulakan sesuatu projek, kerajaan persekutuan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu," katanya.

Fadillah Yusof

Artikel Lain