suria

Vape Tak Kekal, Perokok Akhirnya Kembali Merokok - Dr Hilmi

KUALA LUMPUR: Rokok elektronik atau vape dilihat gagal membantu perokok tegar untuk berhenti merokok, kata Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata, kebanyakan mereka yang berhasrat berhenti merokok pada mulanya berjaya meninggalkan tabiat itu dengan menggunakan vape tetapi berakhir dengan menghisap kedua-dua rokok dan vape.

“Memang 70 peratus perokok ingin berhenti merokok tetapi susah, ada yang tukar daripada merokok kepada vape.

“Kesannya dia hisap dua-dua sekali, rokok dan vape walaupun pada mulanya hisap vape untuk berhenti merokok,” katanya menjawab soalan Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) di persidangan Dewan rakyat, Rabu.

Dr Hilmi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, kerajaan sedar adalah sukar untuk menangani tabiat merokok di kalangan masyarakat apabila program yang dianjurkan mendapat sambutan kurang memuaskan.

“Kementerian memang berusaha bersungguh-sungguh untuk menghapuskan tabiat merokok ini tapi sambutan daripada perokok memang agak kurang memuaskan.

“KKM telah mengadakan 486 klinik berhenti merokok di seluruh Malaysia tapi kejayaan kita setakat ini hanya 18 peratus sahaja perokok yang datang.

“Kalau ikut pengalaman, memang perokok cuba berhenti berkali-kali, lebih kurang lapan kali pergi ke klinik berhenti merokok, barulah boleh berhenti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan lebih membimbangkan apabila ramai di kalangan pelajar sekolah didapati merokok.

Ini termasuklah usaha mengeluarkan pen sisha yang dijual kepada pelajar sekolah.

“Bermula kepada sisha, pergi kepada vape dan merokok, akhirnya kita tidak ada jumlah yang berjaya berhenti merokok,” katanya.



vape, rokok, Dr Hilmi Yahaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain