suria

Indonesia Sertai TPPA Bukan Cabaran Bagi Malaysia

KUALA LUMPUR: Rancangan Indonesia untuk menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bukan cabaran kepada Malaysia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Ini bukan cabaran kepada kami kerana kami mahu melihat lebih banyak halangan perdagangan dapat dikurangkan," katanya selepas majlis Anugerah Halal Hi-Tech Challenge 2015 di sini, Rabu.

Beliau berkata jika halangan perdagangan dan pelaburan dapat dikurangkan, lebih baik mempunyai banyak negara terlibat dalam perjanjian perdagangan bebas itu.

Ditanya bila teks TPPA akan dibahaskan di Parlimen, Mustapa berkata ia akan didedahkan kepada umum dan dibentangkan di Parlimen selepas beberapa isu teknikal diselesaikan.

Mengenai peruntukan RM100 juta kepada Agensi Inovasi Malaysia, Mustapa berkata ia merupakan langkah kerajaan untuk menuju ke hadapan dan mencapai status negara berpendapatan tinggi.

"Jika mahu menjadi negara maju, kita perlu berinovasi untuk meningkatkan produktiviti," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mustapa berkata empat inisiatif telah dilaksanakan untuk menerapkan amalan inovasi dalam kalangan syarikat Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Inisiatif tersebut ialah Institut Fraunhofer, antara institusi penyelidikan terbesar Eropah dan Sirim akan menjalankan audit teknologi untuk membantu syarikat meningkatkan proses mereka.

Kedua, Institut Steinbeis yang berpangkalan di Jerman akan menggunakan rangkaian pakarnya di Malaysia dan di luar negara untuk membantu syarikat terpilih meningkatkan teknologi dan produk mereka.

"Platform pengkomersialan teknologi Malaysia, PlaTCOM Ventures Sdn Bhd, akan memudahkan pemindahan teknologi daripada universiti Malaysia dan institut penyelidikan kepada syarikat yang mahu mengkomersialkan aplikasi baharu.

Sementara itu, lapan pemenang PKS diberikan Anugerah Halal Hi-Tech Challenge 2015 dan menerima geran berjumlah RM3 juta untuk menyokong pembangunan inovasi mereka.

Mereka akan menerima perkhidmatan fasilitasi yang menyeluruh daripada PlaTCOM yang termasuk akses kepada infrastruktur, kepakaran teknikal, pensijilan, khidmat nasihat perniagaan dan perkhidmatan lain.

TPPA, Indonesia

Artikel Sebelum

UiTM Sanggah Dakwaan Rafizi

Artikel Lain