suria

Mayat Pelajar Tingkatan 5 Ditemui Dengan Kesan Kelar Di Leher

GEORGE TOWN: Mayat seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima ditemui dengan kesan kelar di leher di rumah pangsa keluarganya di Bandar Baru Teluk Kumbar, dekat sini malam Ahad.

Mayat Intan Suraya Mawardi, 17, pelajar sebuah sekolah menengah di Teluk Kumbar dekat sini ditemui dalam keadaan terbaring dan berselimut di atas katil oleh bapanya yang pulang ke rumah pada kira-kira 7.30 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Siti Nor Salawati Saad berkata semasa bapa mangsa yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang itu pulang ke rumah mereka, beliau memanggil anaknya itu, namun tidak disahut.

Katanya, bapa mangsa terus ke bilik anak sulungnya itu dan didapati mangsa dalam keadaan berselimut di atas katil dan selepas menyelak selimut berkenaan, beliau mendapati anaknya itu sudah tidak bernyawa.

"Mangsa masih lengkap berpakaian dan kita percaya ada kesan pergelutan berdasarkan keadaan bilik berkenaan. Polis masih menjalankan siasatan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian dekat sini malam Ahad.

Siti Nor Salawati berkata polis turut menjumpai bantal peluk yang terdapat kesan darah di ruang tamu rumah berkenaan.

"Siasatan juga mendapati tiada kesan pecah pada mana-mana pintu atau tingkap rumah dan tiada sebarang senjata ditemui dalam bilik mangsa atau rumah berkenaan," katanya.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 20-an dipercayai teman lelaki mangsa bagi membantu siasatan dan menjumpai dua bilah pisau dipercayai telah dibuang bersama telefon bimbit kepunyaan mangsa di Bayan Lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman pada Isnin, katanya.

Sementara itu, seorang anggota keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata kali terakhir mangsa berhubung dengan ibu bapanya ialah menerusi khidmat pesanan ringkas pada kira-kira 12.00 tengah hari, meminta supaya dihantarkan makanan. - BERNAMA

remaja, maut, kesan kelar

Artikel Lain