suria

Reezal Merican Gesa Cari Pendekatan Baharu Selesaikan Konflik Palestin/Israel

NEW YORK: Memandangkan belum ada sebarang tanda konflik Palestin/Israel yang berlarutan selama 70 tahun akan berakhir, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) mencari pendekatan lebih berdaya maju bagi menyelesaikannya untuk menamatkan kesengsaraan dan mengelak lebih banyak jiwa terkorban.

Beliau berkata langkah itu perlu diambil setelah cubaan untuk menamatkan konflik berkenaan melalui rundingan dua hala antara kedua-dua pihak tidak membuahkan sebarang hasil.

"Saya berucap pada Majlis Keselamatan ini untuk menjelaskan pendirian Malaysia mengenai keganasan yang semakin menjadi-jadi di Wilayah Palestin yang Diduduki serta menegaskan tentang usaha sia-sia dalam mencari penyelesaian melalui rundingan hala secara langsung antara Palestin dan Israel.

"Kita memerlukan satu pendekatan lain bagi menyelesaikan masalah ini," katanya dalam wawancara dengan Bernama di New York selepas menyampaikan ucapan itu.

Reezal Merican berkata Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon, yang baru kembali daripada melawat Palestin dan Israel serta mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin kedua-dua pihak itu, telah memberi taklimat kepada UNSC tentang keadaan di wilayah berkenaan.

Katanya, Ban menggesa kedua-dua pihak menghentikan keganasan dan mengelak daripada membuat kenyataan retorik dan boleh menimbulkan kemarahan kerana menurut beliau, perbuatan itu hanya memburukkan lagi "kitaran keganasan yang tidak diperlukan".

Sehubungan iu, kata beliau, Ban menggesa UNSC bertindak tegas dan menghalang keganasan daripada terus meningkat.

Reezal Merican menegaskan bahawa di samping usaha yang dilakukan di peringkat antarabangsa untuk mencari penyelesaian bagi konflik itu, Malaysia sentiasa bersungguh-sungguh dan tekal dalam mencari penyelesaian terhadap isu Palestin.

"Keadaan yang ada sekarang (konflik Palestin/Israel) tidak boleh dibiar berterusan. Rakyat Palestin, yang paling teruk terjejas oleh konflik itu, inginkan keamanan dan keselamatan, tetapi ia tidak dapat diberi Majlis Keselamatan, yang terus bertegas dengan pendiriannya untuk menggunakan kaedah rundingan dua hala secara langsung.

"Jelas sekali, pendekatan itu tidak membuahkan hasil dan kita perlu mencari cara lain untuk menyelesaikan isu itu," katanya.

"Saya menyatakan kepada Majlis Keselamatan bahawa walaupun kita menyokong kuat matlamat penyelesaian dua negara, kita juga semakin meragui bahawa cara terbaik untuk mencapai matlamat itu ialah melalui rundingan dua hala antara Palestin dan Israel," kata beliau.

Beliau berkata, Malaysia juga ingin melihat pasukan pengaman PBB dikerah ke zon konflik itu bagi mengendurkan ketegangan.

Rakyat Palestin juga, katanya, meminta pasukan pengaman PBB memberi perlindungan terhadap mereka, di samping menghalang berlakunya perbuatan mencabul undang-undang antarabangsa dalam memberi layanan terhadap mereka.

Reezal Merican juga mendedahkan beberapa perkara terperinci tentang perbincangannya dengan Menteri Luar New Zealand Murray McCully di New York pada 21 Oktober, yang menyentuh tentang isu Palestin serta usaha mencari jalan untuk mencapai kemajuan dalam Proses Damai Timur Tengah di UNSC di mana New Zealand dan Malaysia menjadi anggota tetapnya.

Malaysia dan New Zealand bekerjasama rapat dalam menangani isu yang ditangani Majlis Keselamatan, termasuk isu Palestin.

"New Zealand sependapat dengan kita dalam isu Palestin. New Zealand bersetuju bahawa penyelesaian terhadap isu Palestin perlu dicapai dengan segera, kata Reezal Merican.

Beliau juga berkata keadaan di Timur Tengah - Syria, Yemen dan Iraq - "amat bergelora" dan menuntut penyelesaian segera untuk menyekat keganasan daripada terus meningkat.

Katanya kesederhanaan amat diperlukan dalam keadaan seperti ini.

Reezal Merican, yang mengadakan perjumpaan dengan Menteri Luar Sweden Margot Wallstrom pada Khamis, berkata negara itu menunjukkan "minat mendalam" terhadap tumpuan Malaysia kepada kesederhanaan.

"Sebagai negara pelbagai budaya, kaum dan agama, Malaysia membuktikan bahawa kesederhanaan menjadi kunci dalam kehidupan bersama secara harmoni dalam kalangan manusia daripada pelbagai kepercayaan, budaya dan etnik.

"Perdana Menteri kita (Datuk Seri Najib Tun Razak) menganjurkan amalan kesederhanaan melalui inisiatif beliau, Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).

"Sweden, yang turut membincangkan isu Palestin dan konsep kesederhanaan kita, berminat untuk meningkatkan hubungan dengan Malaysia berhubung agenda Majlis Keselamatan," katanya.

Sweden mengemukakan pencalonannya untuk menduduki kerusi tidak tetap majlis itu bagi penggal 2017-2018.-- Bernama



Artikel Lain