suria

Program Visa Percuma Ditangguhkan - Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamed.

BEIJING: Program visa percuma untuk kumpulan pelancong dari China masih belum dapat dilaksanakan buat masa ini.

Ini kerana kerajaan China masih belum memberikan maklum balas terhadap inisiatif Malaysia, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Oleh itu, semua pelancong China masih perlu memohon visa untuk melawat Malaysia walaupun keputusan Kabinet untuk memperkenalkan pengecualian visa selama enam bulan kepada pelancong China yang datang secara berkumpulan dengan jumlah 20 orang atau lebih berkuat kuasa 1 Oktober sehingga 31 Mac tahun depan.

Beliau berkata Kedutaan Malaysia di Beijing telah berbincang dengan Kementerian Keselamatan Awam mengenai isu tersebut sejak beberapa bulan lalu.

"Setakat ini, pihak China tidak memberikan jawapan kepada permintaan kita untuk membincangkan proses sistem visa percuma.

"Namun, sistem sedia ada untuk China memohon visa ke Malaysia berjalan dengan lancar seperti biasa.

"Khabar angin bahawa pelancong China terkandas kerana sistem visa tidak benar," katanya.

Baru-baru ini, Malaysia memperkenalkan program visa percuma untuk kumpulan pelancong China bagi meningkatkan industri pelancongan berikutan penurunan mendadak jumlah pelancong dari negara itu pada tahun lalu.

Pada awal tahun ini, kerajaan memutuskan bahawa bayaran untuk permohonan visa  bagi warga China akan dikecualikan bermula pada 15 Februari hingga 31 Disember ini dalam usaha menarik lebih ramai pelancong negara itu ke Malaysia.

Nur Jazlan bagaimanapun berkata, kesemua empat Pusat Sehenti di China untuk memproses permohonan visa mencatatkan peningkatan dalam pengeluaran visa pada tahun ini.

Bagi Januari hingga September lalu, jumlah ketibaan pelancong China meningkat kepada 102,741 berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Visa pelancong, sosial dan perniagaan meningkat sebanyak 93,518 daripada 809,392 kepada 902,910.

"Ini membuktikan bahawa keperluan visa bukan faktor yang tidak menggalakkan pelancong China datang ke Malaysia," kata Nur Jazlan.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri akan meneruskan keputusan Kabinet mengenai visa percuma untuk kumpulan 20 pelancong China.

Nur Jazlan turut menyatakan kebimbangan program visa percuma ini akan disalahgunakan oleh sesetengah pelancong bagi tujuan tidak sihat termasuk aktiviti keganasan dan jenayah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berada di Beijing selama dua hari bagi menghadiri Dialog Menteri China-ASEAN mengenai Penguatkuasaan Undang-undang dan Kerjasama Keselamatan.

Artikel Berikut

Artikel Lain