suria

Culik Di Sandakan: Rundingan Pembebasan Tebusan Di Peringkat Akhir

Thien Nyuk Fun (kiri) dan Bernard Then.

PENAMPANG: Proses rundingan bagi membebaskan dua mangsa culik di Restoran Ocean King di Sandakan pada Mei lalu, kini pada peringkat akhir, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Beliau berkata rundingan itu masih berjalan dan berharap ia tidak akan diganggu oleh mana-mana pihak yang boleh menjejaskan proses pembebasan itu.

"Kita berharap proses akhir rundingan itu tidak diganggu oleh mana-mana pihak," katanya kepada pemberita selepas perasmian Masjid Al-Fattah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sini, Jumaat.

Jalaluddin meminta ahli keluarga kedua-dua mangsa agar bersabar dan berharap proses rundingan itu berjaya.

Semasa kejadian pada pukul 7.45 malam 14 Mei lalu, Thien Nyuk Fun, 50, kakak ipar pengurus Restoran Ocean King dan Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrikal di Kemboja diculik ketika sedang menjamu selera di restoran atas air itu.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata polis akan mendapatkan maklumat daripada seorang lelaki yang ditahan dipercayai ada kaitan dengan pelancong berbogel di Pulau Sibuan, Semporna.

Gambar pelancong berkenaan menjadi viral di media sosial termasuk menerusi aplikasi WeChat dan Whatsapp baru-baru ini.

Jalaluddin berkata polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Imigresen bagi mengesan individu terlibat.

"Jika mereka (masih) ada di sini kita akan menjalankan proses untuk menahan mereka," katanya.

Sementara itu Jalaluddin berkata masjid yang dibina dengan kos lebih RM400,000 itu membolehkan warga IPD Penampang dan penduduk sekitar menunaikan solat Jumaat dengan lebih selesa serta kondusif.

Masjid yang siap pada Jun itu boleh memuatkan sehingga 600 jemaah, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain