suria

Polis Kesan Sekumpulan Pelancong Bogel Di Semporna

Gambar sekumpulan pelancong berbogel di sebuah pulau di Semporna menjadi viral.

SEMPORNA: Polis sedang mengesan beberapa individu berhubung penyebaran gambar bogel sekumpulan pelancong yang didakwa dirakam di sebuah pulau di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata pihaknya telah menerima laporan mengenai gambar yang menjadi viral di aplikasi WeChat dan WhatsApp yang menunjukkan beberapa lelaki dan wanita dipercayai pelancong dari China bergambar sambil berbogel di tepi pantai.

"Hasil siasatan awal mendapati gambar itu diambil dalam tempoh 2013 sehingga dua minggu lepas dan ia dipercayai diambil untuk simpanan peribadi sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pihaknya juga telah mendapatkan kerjasama Jabatan Imigresen dan Interpol bagi mengesan individu yang dipaparkan di gambar berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Antara gambar yang tersebar memaparkan tujuh lelaki bogel membelakangkan kamera sambil seorang wanita lengkap berpakaian menghadap kamera.

Sebelum ini, kira-kira 10 pelancong Eropah berbogel dan bergambar di puncak Gunung Kinabalu hingga menimbulkan kemarahan penduduk negeri ini dan empat daripada mereka kemudian ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara tiga hari serta denda RM5,000 setiap orang.

Sementara itu, Peter meminta pengusaha resort menasihatkan atau memberi pendedahan kepada pelancong yang datang ke resort mereka tentang undang-undang dan sensitiviti masyarakat di Malaysia. - BERNAMA

Semporna, bogel, pelancong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain