suria

“Tugas Ini Bukan Tekanan” - Pengerusi PAC

Hasan Ariffin

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu, Datuk Hasan Ariffin tidak menganggap pelantikannya sebagai satu tekanan.

Hasan berkata, beliau lebih melihat tugas baharunya ini sebagai cabaran sebagai seorang pemimpin negara.

Malahan, beliau juga yakin dapat menangani isu-isu yang timbul berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan baik.

“Saya tak ada masalah menguruskannya (1MDB). Ia bukan tekanan bagi saya. Saya akan jalankan tugas yang ditetapkan Parlimen.

“Tugas ini adalah cabaran, ia satu tanggungjawab besar. Seseorang perlu mengambil tanggungjawab ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Ahli Parlimen ini bercakap kepada pemberita sebaik sahaja Dewan Rakyat meluluskan pelantikannya sebagai pengerusi PAC yang baharu, Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan seterusnya adalah menunggu Jawatankuasa Pemilihan melantik tiga anggota PAC yang baharu dan mesyuarat kali pertama akan dipanggil segera.

Jelasnya, sebagai orang baharu, beliau perlu melihat laporan-laporan Ketua Audit Negara terdahulu sebelum membuat sebarang kenyataan atau tindakan susulan.

Bagaimanapun, beliau meyakinkan masyarakat bahawa siasatan akan dilakukan tanpa rasa takut, demi kepentingan negara.

“Kerajaan telah berjanji bahawa mereka akan menyegerakan siasatan dan kemukakan laporan kepada Parlimen.

“Cakap-cakap bahawa kerajaan sengaja melengahkan siasatan 1MDB itu hanya persepsi,” katanya.

Hasan, yang mempunyai latar belakang dalam bidang ekonomi dilantik sebagai pengerusi PAC setelah pengerusi terdahulu Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri semasa rombakan Kabinet, Julai lalu.



PAC, Hasan Ariffin, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain