suria

Doris Jones Rancang Kembali Ke Malaysia Dengan Pasport UK

Doris Jones.

KOTA KINABALU: Aktivis kelahiran Sabah yang berpangkalan di London, Doris Jones merancang untuk kembali ke Malaysia dengan pasport antarabangsa United Kingdom yang baharu dikeluarkan.

Jones yang merupakan individu disebalik Gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) berkata beliau sudah merancang untuk kembali ke Sabah dengan dokumen perjalanan baharunya selepas permohonan untuk memperbaharui pasport Malaysia ditolak.

"Saya tak akan beritahu anda bila saya akan pulang, saya ada keluarga di sana," kata Jones ketika dihubungi di London pada Isnin.

Jones bagaimanapun berkata beliau masih lagi rakyat Malaysia walaupun memiliki taraf penduduk tetap di United Kingdom sejak 20 tahun.

Wanita berusia 45 tahun itu yang dikenal pasti polis Sabah sebagai Yapp Kim Youn dari Labuan berkata dirinya masih lagi anak jati Sabah.

"Saya tidak memohon kerakyatan British, saya hanya memohon dokumen perjalanan kerana Malaysia enggan memperbaharui pasport saya," kata Jones.

Pada Ahad lalu, Jones dalam laman Facebooknya berkata beliau telah menyelesaikan isu pasportnya di United Kingdom tanpa sebarang masalah.

Katanya, permohonan untuk memperbaharui pasport di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London ditolak dan beliau ditawarkan sijil kecemasan bagi perjalanan sehala dan dikehendaki memperbaharui pasport tersebut di Putrajaya.

"Saya mahu memperbaharui pasport di Kota Kinabalu, mengapa Putrajaya," katanya.

Polis di sini memperoleh waran tangkap terhadap Jones yang dikehendaki atas tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Namun usaha pihak berkuasa untuk mengekstradisi Jones tidak berhasil kerana undang-undang Britain tidak mengiktiraf kesalahannya di bawah akta tersebut.



Doris Jones, pasport, UK

Artikel Lain