suria

CyberSecurity Menang Anugerah Inovasi Keselamatan Siber FireEye

KUALA LUMPUR: CyberSecurity Malaysia mengumumkan ia telah berjaya sebagai pemenang Anugerah Inovasi Keselamatan Siber Terbaik FireEye.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Amirudin Abdul Wahab dalam satu kenyataan berkata, anugerah itu diberikan atas pendekatan inovatif dan kepimpinan badan itu membantu memerangi serangan siber dalam kalangan organisasi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII), syarikat dan agensi kerajaan.

"Saya berbesar hati dan bangga dengan pasukan saya. Kita semua dalam CyberSecurity Malaysia amat teruja dan ini adalah satu pencapaian yang besar dalam industri keselamatan siber.

"Anugerah ini juga baik untuk negara kita, kerana ia menggalakkan rakyat Malaysia menjadi individu yang berinovatif dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat yang mempunyai langkah keselamatan siber yang kukuh," katanya.

Majlis penyampaian anugerah itu diadakan bersempena Sidang Kemuncak Pertahanan FireEye 2015 di Washington DC, Amerika Syarikat. Anugerah diterima  Dr Zahri bagi pihak CyberSecurity.

FireEye Inc telah mencipta sebuah mesin maya khas berasaskan platform keselamatan yang menyediakan perlindungan ancaman masa sebenar untuk syarikat dan kerajaan di seluruh dunia terhadap serangan siber bagi generasi akan datang.-- Bernama


Cybersecurity, FireEye

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain