suria

Pemandu Maut Lori Balak Terbabas Ke Dalam Gaung

JOHOR BARU: Seorang lelaki maut apabila lori balak dipandunya tergelincir dan terbabas ke dalam gaung di jalan pembalakan Sungai Lenggor, Jemaluang dekat Mersing, Khamis.

Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superitendan M.Kumar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan membabitkan mangsa, Chong Fong Kui, di jalan pembalakan kira-kira 20 km dari jalan utama Kahang-Jemaluang kira-kira 8.50 malam.

Beliau berkata semasa kejadian, Chong, 57, berasal dari Jemaluang, dipercayai gagal mengawal lori terbabit akibat tergelincir semasa mendaki cerun jalan tanah merah.

"Ia mengakibatkan lori menggelongsor ke belakang dan terbabas ke dalam gaung di sebelah kiri haluan," katanya Jumaat.

Kumar berkata Chong meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan itu.

Mayatnya dikeluarkan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Mersing dan dihantar ke Hospital Mersing.-- Bernama


lori balak, Sungai Lenggor

Artikel Sebelum

Artikel Lain