suria

Polis Edar Lakaran Wajah Suspek Culik Warga Emas

KUALA LUMPUR: Polis mengedarkan lakaran wajah seorang lelaki dipercayai terlibat kes culik seorang warga emas di Jalan Api-api Kepong Baru, Kepong di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata suspek adalah lelaki berbangsa India berusia lingkungan 30-an dan mempunyai ketinggian antara 150 dan 160 sentimeter.

"Kita telah peroleh lakaran wajah seorang daripada empat suspek yang terlibat berdasarkan keterangan mangsa serta melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Akhbar hari ini melaporkan seorang warga emas telah diculik sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang ketika sedang berkebun di hadapan rumahnya di Jalan Api-api Kepong Baru, Kepong di sini Selasa lalu.

Bagaimanapun, mangsa yang juga pesara kerajaan berumur 60 tahun dilepaskan kira-kira tujuh minit kemudian, apabila suspek menyedari mereka tersilap menculik orang selepas menerima panggilan telefon.

Munusamy berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh berhubung dengan Gerakan IPD Sentul di talian 03-40400782.

Artikel Sebelum

Artikel Lain