suria

1MDB Bukan Perhatian Utama FBI, Washington - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.

WASHINGTON DC: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata persoalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan menjadi perhatian utama pihak Washington termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

"Mungkin perkara ini besar kerana diuar-uarkan di dalam negara (Malaysia) kerana di negara kita ia dijadikan isu politik," kata Ahmad Zahid kepada wartawan Malaysia di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja di pusat pentadbiran Amerika Syarikat ini berkata perkara mengenai 1MDB tidak dibangkitkan langsung semasa pertemuan beliau dengan Setiausaha Negara Amerika John Kerry dan juga perbincangan dengan pegawai-pegawai kanan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

"Tidak ada persoalan mengenai 1MDB dibangkitkan oleh pihak FBI atau John Kerry atau mana-mana pihak yang saya temui semasa saya berada di Washington," kata beliau apabila ditanya berhubung laporan media sebelum ini bahawa FBI telah memulakan penyiasatan berkaitan 1MDB.

"(1MDB) tidak menjadi isu besar kepada mereka langsung," katanya.

Ahmad Zahid bertemu John Kerry di Jabatan Negara di sini Khamis untuk menandatangani dokumen Aturan Arahan Presiden Keselamatan Negara No.6 (HSPD-6), bagi membolehkan Malaysia menjadi negara ke-39 menyertai Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat.

Selain pertemuan dengan Kerry, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga mengadakan perbincangan dengan Agensi Perisikan Persekutuan (CIA) dan FBI yang menyentuh isu keganasan ISIS, keadaan keselamatan di Laut China Selatan dan soal migrasi.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya menasihatkan orang ramai supaya jangan terpengaruh dengan pelbagai kenyataan kononnya agensi antarabangsa, khususnya di Amerika Syarikat melakukan siasatan berdasarkan dakwaan beberapa individu dari Malaysia yang dikatakan telah bertemu dengan pihak-pihak berkenaan.

"Sata telah bertemu timbalan pengarah FBI (Mark F. Giuliano) dan para pegawai kanan FBI. Tidak ada satu perkataan pun disebut mengenai 1MDB," katanya.

Katanya turut bersama beliau dalam pertemuan itu ialah Duta Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

"Saya tidak tahu (berita itu) datang dari mana? Saya jumpa FBI dan pihak-pihak lain… tidak timbul langsung mengenai perkara itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain