suria

1MDB: Titah Majlis Raja-Raja Tidak Akan Tercapai - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa titah Majlis Raja-Raja supaya siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan segera dan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan tidak akan tercapai.

Bekas perdana menteri itu berkata, ini kerana pemberi maklumat kini berhadapan risiko apabila mereka mungkin berdepan tuduhan mengancam keselamatan negara di bawah Akta Keselamatan Langkah-Langkah Khas (Sosma) 2012.

Katanya, penahanan  bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang di bawah Sosma telah mencipta ketakutan kepada orang ramai untuk melaporkan tentang salah laku kerajaan dan pegawai-pegawainya kerana ia dituduh sebagai mengancam keselamatan.

"Dengan ini titah Majlis Raja-Raja supaya siasatan dijalankan secara adil dan telus tidak lagi boleh dicapai.

"Terdapat berpuluh-puluh orang yang tahu tentang salah laku dalam 1MDB tidak mahu mengambil risiko dengan memberi keterangan atau membuat tuduhan kerana mereka berdepan risiko ditahan dan didakwa di bawah Sosma," katanya dalam posting terbaru di blognya, Jumaat.

Beliau mendakwa, di mata dunia, Malaysia kini dilihat sebagai sebuah negara di mana sesiapa sahaja boleh ditahan dan disoal siasat oleh polis, ditahan dan didakwa melalui penyalahgunaan undang-undang negara.

"Dan Pejabat Peguam Negara akan menolak atau tidak mengambil kira sebarang laporan salah laku yang melibatkan Perdana Menteri," dakwanya.

Dalam pada itu, beliau juga mempertikaikan kuasa Peguam Negara sehingga 1MDB diputuskan sebagai bebas daripada salah laku.

Katanya, Peguam Negara dilihat seperti telah menghakimi kes 1MDB dengan menyatakan  kes 1MDB tidak mempunyai merit untuk diadili di mahkamah mengikut undang-undang.

"Peguam Negara dilihat telah membuat penghakiman, menolak kes itu sebagai tidak mempunyai merit untuk dibicarakan di mahkamah. Apabila rayuan dibuat, ia ditolak oleh beliau atas pihak alasan yang tidak jelas. Terdapat kurangnya ketelusan di sini.

"Adakah ini caranya kedaulatan undang-undang di negara ini sepatutnya didukung? Apakah kedudukan AG lebih tinggi daripada seorang hakim, apabila penghakimannya adalah muktamad dan tidak ada sebarang rayuan?," katanya.

Katanya, Peguam Negara dianggap dapat menghargai dan memahami betapa seriusnya kes itu atau kes-kes lain yang dikemukakan kepadanya dan menilai kebimbangan laporan atau agensi yang membuat laporan.

"Jika ada rasa tidak puas hati, kes harus dinilai dalam mahkamah oleh seorang hakim dan jika masih tidak berpuas hati rayuan dibenarkan," katanya.

Dr Mahathir berkata, dengan menolak kes ini, minda rakyat akan terus dibelenggu dengan syak wasangka.

Malah katanya, rakyat akan berfikir bahawa keputusan yang dibuat Peguam Negara itu mungkin tidak dibuat olehnya.

"Dalam kes ini rakyat ingin tahu sama ada Perdana Menteri terlibat atau tidak.

"Sebaliknya kita telah menyaksikan penahanan individu-individu di bawah undang-undang yang kononnya bertujuan untuk membendung keganasan," katanya merujuk kepada Khairuddin  dan Matthias.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain