suria

Tony Fernandes Sokong Kajian Bahasa Inggeris Oleh Pemandu

Tony Fernandes
PETALING JAYA: Ketua Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes menyokong kajian oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) mengenai kepentingan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di tengah-tengah kebimbangan penurunan tahap bahasa ini di Malaysia.

Dalam beberapa siri tweetnya pada Rabu, Fernandes menggesa semua rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam kaji selidik tujuh soalan itu, bimbang negara ini semakin hilang daya saing kerana standard Bahasa Inggeris yang lemah.

"Malaysia telah hilang daya saing kerana standard kita dalam bahasa Inggeris semakin menurun. Kita tidak boleh lari daripada bahasa Inggeris. Ia adalah bahasa global.

"Bayangkan jika semua anak-anak kita bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris seperti zaman dulu. Sebagai tambahan, boleh bercakap bahasa Mandarin dan Tamil. Wow," katanya melalui Twitter @tonyfernandes.

Turut berkongsi link kaji selidik itu, bos AirAsia juga menggesa rakyat Malaysia melengkapkan kaji selidik itu dan menjadikannya viral, sambil menambah syarikat penerbangan itu telah melakukan peranannya dengan menggalakkan kajian itu di laman webnya.

"Negara kita mempunyai banyak potensi. Ini adalah masa untuk majoriti senyap bersuara. Saya telah mencuba dengan cara saya yang kecil. Tetapi saya akan bersuara lebih kuat," katanya.

Kaji selidik Pemandu telah menjana maklum balas orang awam sejak ia diumumkan pada Selasa, dengan pautan kepada kajian itu dikongsi di akaun media sosial.

Ramai daripada mereka menyokong keperluan untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dan menggunakan bahasa itu sebagai bahasa pengantar di sekolah.

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming adalah antara ahli politik yang berkongsi link kaji selidik itu melalui akaun Twitternya,@imokman.

"Kaji selidik PEMANDU dalam pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan kita. Sila isi jika anda mahu MOE (Kementerian Pendidikan) melihat maklum balas anda," katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan turut berkongsi link kaji selidik itu di laman Twitternya.

Terdapat juga mereka yang tidak mahu menyuarakan pendapat terhadap kajian itu, menyatakan bahawa mereka tidak melihatnya akan mempunyai kesan seperti dikehendaki.

Artikel Lain