suria

Jerebu: Tabika Kemas Tutup Secara Automatik Jika Sekolah Ditutup - Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA: Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ditutup secara automatik jika sekolah di sesuatu kawasan berkenaan diisytiharkan tutup oleh Kementerian Pendidikan akibat jerebu. 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penutupan Tabika Kemas itu adalah selari dengan keputusan Kementerian Pendidikan. 

"Perkara tersebut telahpun diputuskan sebelum ini, namun masyarakat masih belum mengetahuinya secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ismail Sabri turut meminta pengusaha Tabika KEMAS supaya sentiasa peka dengan pengumuman Kementerian Pendidikan memandangkan sesi pembelajaran dijalankan dalam kelas yang tidak berhawa dingin. 

Terdahulu pada Ahad, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan semua sekolah di Semenanjung kecuali Kelantan diarah tutup selama dua hari, mulai esok berikutan keadaan jerebu semakin buruk di negeri-negeri berkenaan.

Mengenai Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Ismail Sabri berkata MRSM tidak melaksanakan kelas formal di bilik darjah, sebaliknya pelajar hanya digalakkan mengulang kaji pelajaran di pusat sumber, bilik seminar dan dewan besar yang kesemuanya berhawa dingin.

Beliau berkata, memandangkan MRSM melaksanakan Pendidikan Secara Asrama Penuh Berstruktur, adalah tidak praktikal untuk membenarkan pelajar pulang ke rumah. 

"Sebaliknya operasi dengan sesi pembelajaran boleh dijalankan secara tidak formal seperti di perpustakaan yang berhawa dingin," katanya.

Artikel Lain