suria

Sebutan Semula Kes Hasutan Teresa Kok Pada 7 Disember

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 7 Disember untuk sebutan semula kes Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok Suh Sim yang didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung video klip yang disiarkannya bersempena Tahun Baharu Cina, tahun lepas.

Hakim Nor Sharidah Awang menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah memaklumkan pihaknya sedang menunggu keputusan kes hasutan yang dihadapi seorang pensyarah yang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

"Alasan lain ialah rayuan Kok untuk memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi juga belum selesai, jadi kita perlu menunggu kedua-dua keputusan itu terlebih dahulu," katanya.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes.

Pada 6 Mei tahun lepas, Kok yang juga Anggota Parlimen Seputeh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerbitkan satu klip video menghasut bertajuk Teresa Kok ONEderful Malaysia CNY 2014 yang disiarkan bersempena Tahun Baharu Cina pada Februari 2014.

Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui laman web http://www.youtube.com/ di alamat 90-02-07 Apartmen Putra Ria, Jalan Bangsar di sini kira-kira pukul 9 pagi, 1 Feb 2014.

Dakwaan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Teresa Kok, DAP, Hasutan

Artikel Sebelum

RoS Iktiraf Parti Amanah Negara

Artikel Berikut

Artikel Lain