suria

Remaja Ditahan Selepas 30 Minit Larikan Audi TT

ACP Shafien menunjukkan kereta Audi TT yang dilarikan sekumpulan remaja pagi Sabtu.

SHAH ALAM: Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan menjumpai kembali sebuah kereta mewah yang dilarikannya dalam satu kejadian langgar dan samun pagi Sabtu.   

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata suspek ditahan sepasukan anggota polis di sebuah stesen minyak di Ampang, kira-kira pukul 5 pagi.    

Menurut Shafien, dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, kereta Audi TT milik seorang juruterbang berumur 29 tahun dilanggar dari belakang oleh suspek yang menaiki sebuah kereta bersama dua lagi rakannya yang masih bebas di susur keluar Lebuh Raya Shah Alam ke Kota Kemuning.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa berhenti dan keluar daripada kereta,malangnya beliau cuba diserang oleh suspek menggunakan parang.

Berikutan itu, mangsa melarikan diri dan beliau melihat suspek melarikan keretanya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ibadah korban di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini pada Sabtu.

Shafien berkata siasatan polis mendapati kereta BMW yang digunakan suspek dan rakannya dalam kejadian samun itu merupakan kereta yang dilaporkan dicuri pada hari sama di Subang.

Polis kini giat mengesan dua lagi lelaki rakan suspek yang berusia lingkungan 20-an dan kes disiasat menurut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata secara berkumpulan.

samun kereta, Audi TT

Artikel Berikut

Artikel Lain