suria

AS, Australia Beri Amaran Kemungkinan Ancaman Pengganas Di Jalan Alor

PETALING JAYA: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur mengeluarkan nasihat perjalanan di Jalan Alor berikutan kemungkinan ancaman pengganas.

Dalam satu kenyataan di laman web kedutaan itu pada malam Khamis, ia berkata, nasihat berkenaan dikeluarkan berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai berhubung kemungkinan tindakan pengganas.

Ia menasihatkan rakyat AS supaya mengelakkan daripada berada di Jalan Alor, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar pada Khamis.

"Bagi semua lokasi lain, Kedutaan AS di Kuala Lumpur mengingatkan rakyat AS agar perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap keselamatan diri.

"Pada masa lalu, badan-badan pengganas mempunyai rancangan mengenai serangan mereka sejajar dengan tarikh penting dalam kalendar," kata kedutaan itu.

Ia mengingatkan rakyat AS supaya sentiasa berhati-hati semasa dalam perjalanan kerana mereka mungkin menjadi sasaran kumpulan ekstremis tanpa mengira negara mereka berada.

"Teliti semula rancangan keselamatan diri anda, sentiasa berwaspada terhadap persekitaran, termasuk memantau stesen berita tempatan untuk perkembangan semasa.

"Sentiasa berwaspada pada tahap yang tinggi, ambil langkah yang sewajarnya untuk mempertingkatkan keselamatan diri anda dan mengikut arahan pihak berkuasa," menurut nasihat kedutaan itu.

The Straits Times pada Khamis melaporkan satu amaran turut dikeluarkan dalam laman web Jabatan Perdagangan dan Hal Ehwal Luar, Kerajaan Australia.

"Berikutan kemungkinan ancaman keganasan, rakyat Australia dinasihatkan supaya tidak berada di Jalan Alor, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar pada Khamis, 24 September.

"Kami terus menasihatkan rakyat Australia untuk mempertimbangkan semula mengenai keperluan untuk mengunjungi kawasan pantai timur Sabah, dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan di Malaysia," menurut amaran itu.

Jalan Alor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain