suria

MCA Desak Semua Demonstrasi Jalanan Dihentikan

Liow Tiong Lai.

KUALA LUMPUR: MCA mendesak semua demonstrasi jalan secara besar-besaran perlu dihentikan kerana ia dikhuatiri akan mencetuskan tindakan melampaui batas serta memusnahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti itu akan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menghentikan semua perhimpunan jalanan yang memberi tekanan kepada perpaduan negara serta memburukkan nama negara di persada antarabangsa.

Sambil mengutuk keras Perhimpunan Bersih 4.0 pada 29 hingga 30 Ogos lepas dan Himpunan Rakyat Bersatu, 16 September lepas, katanya perhimpunan jalanan tersebut mengancam merobak-rabikkan fabrik masyarakat negara ini.

Justeru, MCA menegaskan bahawa semua perhimpunan jalanan secara besar-besaran perlu dihentikan serta-merta, katanya dalam kenyataan selepas mempengeruskan mesyuarat tergempar Ahli Jawatankuasa Pusat MCA di Wisma MCA, di sini Khamis.

Beliau berkata, peserta Himpuan Rakyat Bersatu, juga dikenali sebagai Perhimpunan Baju Merah pada 16 September itu jelas berhasrat menyebarkan rasa ketakutan serta mencetuskan ketegangan antara kaum di negara ini.

Liow, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata menyasarkan komuniti Cina dan pemusuhan yang jelas ditunjukkan oleh peserta perhimpunan terhadap masyarakat itu tidak boleh diterima dan tidak boleh dibiarkan.

Katanya, slogan berbaur penghinaan terhadap masyarakat Cina oleh sebilangan peserta perhimpunan 'Baju Merah' tidak boleh dimaafkan.

"Jalan ke hadapan adalah untuk kembali semula kepada nilai-nilai yang diperjuangkan oleh pengasas kita," katanya. - Bernama

Artikel Lain