suria

Hishammuddin Temui Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi

Mohammed Bin Salman

JEDDAH: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan beliau Timbalan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman di Jeddah pada petang Selasa.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin berbincang mengenai hubungan dua hala terutama dalam bidang pertahanan dan cara-cara untuk mengukuhkannya.

Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Turus Angkatan Bersenjata Arab Saudi Jeneral Abdul Rahman al-Banyan dan Ketua Setiausaha Pejabat Menteri Pertahanan Arab Saudi Fahad Al-Issa.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Rabu berhubung pertemuan itu, Hishammuddin berkata Malaysia dan Arab Saudi bersepakat untuk terus memperkukuhkan perkongsian maklumat risikan bagi menangani pengaruh IS di kedua-dua negara dan rantau Asia.

Dalam pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu, kedua-dua mereka turut membincangkan situasi di Timur Tengah dan hubungan kedua-dua negara khususnya dalam bidang pertahanan dan ketenteraan.

Pada pertemuan itu, Hishammuddin melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi yang menyediakan penginapan, kemudahan serta keperluan yang baik untuk pasukan tentera Malaysia yang kini ditempatkan di Riyadh bagi melaksanakan misi kemanusiaan.

Hishammuddin mewakili kerajaan merakamkan terima kasih kepada Arab Saudi kerana meluluskan hak pendaratan tambahan untuk jemaah haji dari Malaysia.

Beliau turut berterima kasih atas kerjasama Kerajaan Arab Saudi membenarkan kumpulan jemaah haji Malaysia yang telah melepasi tarikh akhir menunaikan haji untuk mengerjakan ibadah itu.

Sabtu lepas, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengumumkan kerajaan berjaya mendapat kuota tambahan sebanyak 2,100 jemaah haji muassasah dengan ihsan kerajaan Arab Saudi dan telah melakukan beberapa penerbangan sejak 16 September lepas.

Tambahan kuota tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kuota jemaah haji Malaysia sebanyak 24,420 orang.

Sebelum ini, kuota jemaah Malaysia cuma 22,320 orang.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain