suria

Mohd Khusairi Dilantik Pengerusi Finas Baharu

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyampaikan surat lantikan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kepada Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib di Menara KKMM, Isnin. Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Jailani Johari, Ketua Setiausaha Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Mohd Othman (kiri). -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim River di Perak, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baharu berkuatkuasa 9 September lepas.

Beliau menerima surat pelantikan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada satu majlis di kementerian di sini pada Isnin.

Mohd Khusairi, 54, yang juga Ketua Penerangan Umno Perak menggantikan penyandang jawatan itu Datuk Seri Azalina Othman Said, yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam rombakan kabinet pada 28 Julai lepas.

Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, Mohd Khusairi berkata beliau mahu menggerakkan Finas ke satu tahap lebih tinggi, merakyatkan filem tempatan serta meningkatkan kebajikan di kalangan pekerja berkaitan industri perfileman.

Beliau berkata pihaknya akan mencari kaedah terbaik bagi membawa filem-filem tempatan khususnya yang berbentuk kenegaraan, kepada masyarakat di peringkat akar-umbi, antaranya melalui sesi pratonton.

Mengenai kebajikan pekerja filem, Mohd Khusairi berkata satu kaedah terbaik perlu dilaksanakan bagi memastikan kira-kira 30,000 pekerja perfileman, yang majoritinya tidak bergaji tetap mendapat pembelaan yang wajar.

"Ketika ini kebanyakan syarikat penerbitan tidak mengamalkan sistem gaji minimum, dan ini merupakan antara perkara yang akan saya lihat semula," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain