suria

Polis Nafi Dakwaan Kes Culik

GEORGE TOWN: Pihak polis menafikan wujud cubaan menculik seorang kanak-kanak yang membabitkan sekumpulan individu menaiki van berwarna biru di Teluk Bahang dekat sini seperti yang menjadi viral di laman soial.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Lai Fah Hin berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa anaknya yang berusia sembilan tahun cuba diculik tengah hari Sabtu.

Beliau berkata kes itu bagaimanapun tidak dapat diklasifikasi sebagai culik atau cubaan menculik memandangkan laporan dibuat hanya berdasarkan cerita kanak-kanak terbabit dan ia adalah meragukan.

"Kanak-kanak itu mendakwa tindak tanduk kumpulan individu dalam van tersebut dirasakan seolah-olah mahu menculiknya. Dia kemudianya melarikan diri balik ke rumah dan memberitahu ibunya yang terus membuat laporan polis," katanya.

Namun Lai berkata pihak polis telah diarah untuk meronda kawasan yang didiami keluarga berkenaan.

Sementara itu di Negeri Sembilan, pihak polis turut meminta orang ramai supaya menghentikan spekulasi wujud cubaan menculik terhadap seorang murid perempuan prasekolah di Nilai seperti yang tersebar di Facebook pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Zaldino Zaludin berkata setakat ini pihaknya belum dapat memastikan kes tersebut.

Beliau berkata pada Khamis lepas, seorang lelaki berumur lewat 20-an yang mendakwa dia adalah bapa saudara kepada murid tersebut telah pergi ke sekolah murid itu dan mahu menjemputnya pulang.

Namun lelaki terbabit yang dikatakan datang dengan sebuah kereta bersama beberapa individu lagi, telah pergi ke kelas murid tersebut dan menemuinya sebelum meninggalkan kawasan sekolah, tanpa melakukan sebarang perbuatan ke atas murid itu, katanya.

Ibu murid tersebut turut membuat laporan polis.

Zaldino berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut dan kini sedang mengesan lelaki terbabit serta turut mengedarkan fotopitnya.

Orang ramai yang mengetahui kejadian itu diminta menghubungi Inspektor Mohd Tarmizi Said di talian 017-9000146.

Culik, Polis, Van Biru

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pelajar UiTM Ditemui Mati

Artikel Lain