suria

Tiga Negeri Diisytihar Kawasan Penyakit Anjing Gila - Shabery

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kanan) menziarahi Tan Gik Sew (tiga, kiri) ibu kepada nelayan mendiang Low Tze Kian di kediamannya di Kampung Telok Kertang, Matang, Khamis.
Beliau melawat keluarga mangsa dan menyampaikan cek Skim Insurans Nelayan berjumlah RM102,500. 
-fotoBERNAMA
TAIPING: Tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang diisytihar sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila berikutan beberapa kes dikesan di negeri itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menurutnya, penyakit anjing gila atau rabies telah diisytiharkan di Perlis pada 19 Ogos lepas manakala Kedah dan Pulau Pinang, masing-masing pada Khamis.

"Jadi dalam soal ini, kita meminta orang ramai di negeri terbabit untuk berhati-hati. Bagi mereka yang memelihara anjing pastikan anjing mereka berlesen dan sudah mendapat vaksin yang sepatutnya," katanya.

Shabery berkata demikian kepada pemberita selepas melawat rumah nelayan, Low Tze Kian, 23, yang maut ketika keluar menangkap ikan pada 24 Ogos lepas di Kampung Telok Kertang, di sini Khamis.

Beliau berkata sehingga sekarang, seramai 200 kakitangan veterinar telah dikerahkan di seluruh negara untuk membantu mengawal keadaan di tiga negeri berkenaan.

"Selepas diisytiharkan, Jabatan Veterinar telah mengerahkan anggotanya mengambil tindakan termasuk memberi vaksin dan juga membuat tangkapan terutama sekali terhadap anjing tidak berlesen.

"Jadi tolong hantar anjing ke pusat veterinar di daerah masing-masing dan kita juga akan memantau jumlah yang pergi mendapatkan vaksin itu. Sekiranya kakitangan tak mencukupi kita akan bantu," katanya.

Shabery berkata selain kementeriannya, pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu mengawal kes penyakit anjing gila itu.

"Saya minta supaya Jabatan Veterinar terus mengeluarkan kenyataan setiap hari untuk memaklumkan tentang perkembangan harian supaya orang lebih berhati-hati," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan), Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata setakat ini, seramai 22 mangsa kes gigitan anjing liar dilaporkan di Perlis manakala di Kedah lima kes dan Pulau Pinang dua kes.

"Sebanyak 82 sampel otak anjing yang ditangkap iaitu 65 sampel di Perlis dan  17 sampel di Kedah telah diuji dan 25 daripadanya didapati positif," katanya.

Dr Quaza berkata program kesedaran akan dibuat dan operasi pemusnahan anjing liar akan dijalankan di kawasan terbabit untuk mengelak daripada merebak ke kawasan lain.

"Kita akan bagi tumpuan bersama PBT untuk musnahkan anjing yang berkeliaran dan tidak bertuan. Jadi, kalau anjing yang bertuan tetapi lepas bebas sewaktu program pemusnahan, kita tak boleh buat apa-apa.

"Adalah penting untuk pemilik anjing menyimpannya di rumah, tak vaksin pun simpan di rumah, tak ada risiko sebab jangkitan adalah melalui gigitan anjing liar," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain