suria

Annuar Musa Bidas Dakwaan Himpunan 'Baju Merah' Rasis

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa membidas dakwaan mengatakan perhimpunan 'baju merah' pada Rabu sebagai rasis.

Sebaliknya, beliau menyifatkan perkauman itu dituntut dalam Islam bagi mempertahankan hak sesuatu kaum tanpa menzalimi pihak lain.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh menegaskan bahawa orang Melayu sebenarnya melakukan toleransi dengan kaum lain di negara ini.

"Perkauman dituntut dalam Islam selagi tidak melakukan kezaliman pada orang lain. Kita (orang Melayu) kongsi negara ini, kerakyatan dan segala hak.

"Prinsip pelbagai kaum, toleransi, hidup bersama, terima kebebasan agama dan kaum, itu orang Melayu akan terus junjung," katanya kepada pemberita selepas selesai perhimpunan 'baju merah' di Padang Merbok di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya perhimpunan yang melibatkan peserta Melayu yang memperjuangkan kaum itu dianggap rasis.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, orang Melayu seharusnya mempertahankan hak dan maruah mereka.

"Orang Melayu mesti jaga keamanan, hak, maruah, raja, agama dan budaya mereka.

"Tetapi jangan atas nama kaum, kita melakukan kezaliman kepada orang lain," katanya. 



Annuar Musa, Umno, baju merah

Artikel Berikut

Artikel Lain