suria

Lima Penerbangan Terjejas Akibat Jerebu Di Melaka - Ecxo

MELAKA: Lima penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam turut terjejas ekoran jerebu antara 1 September hingga semalam, kata Exco Pengangkutan dan Pemulihan Projek Negeri, Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, tiga penerbangan melibatkan laluan Melaka-Pekan Baru, Indonesia yang terpaksa dibatalkan manakala satu penerbangan bagi laluan sama terpaksa berpatah balik.

Katanya, satu lagi penerbangan dari Pulau Pinang terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Senai, Johor Baru.

"Pembatalan penerbangan, lencongan dan berpatah balik dibuat bagi menjaga keselamatan pesawat, penumpang dan anak kapal akibat jarak penglihatan untuk mendarat yang terhad," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sehingga semalam, jarak penglihatan di LTAM adalah sekitar 700 hingga 1,000 meter antara pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai setakat pukul 9 pagi tadi kekal pada tahap tidak sihat iaitu masing-masing 153 dan 165.

Ban Hong berkata, penerbangan di LTAM hanya akan dihentikan sepenuhnya sekiranya jarak penglihatan di kawasan lapangan terbang kurang daripada 600 meter iaitu pada tahap kritikal.

Bagaimanapun, beliau berkata pengoperasian penerbangan di LTAM turut bergantung pada keputusan syarikat penerbangan dan juga juruterbang.

Mengulas lanjut, katanya penumpang yang menaiki pesawat di LTAM terutama pelancong didapati berkurangan ekoran jerebu.

"Tetapi kita jangkakan penumpang akan kembali menggunakan LTAM apabila keadaan jerebu turut pulih," katanya.-- Bernama


LTAM, Melaka, Lim Ban Hong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain