suria

Ali Tinju Beri Kata Dua Jika Ada Pihak Biadap, Lakukan Provokasi

Ali Tinju bersama baju merah sempena perhimpunan 16 September ini.
KUALA LUMPUR: Ketika penganjur utama Perhimpunan Rakyat Bersatu memberi jaminan bahawa tiada insiden keganasan akan berlaku, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom seakan memberi isyarat yang berlainan.

Malah beliau memberi amaran untuk mengambil tindakan sendiri dan membelakangi pihak polis jika tercetusnya kekecohan sepanjang perhimpunan pada Rabu.

"Kami sokong untuk tidak lakukan provokasi, tak ada kekerasan, tapi sekiranya berlaku, terpulanglah, tepuk dada tanya selera.

"Kalau pihak DAP kurang ajar, biadap dan buat provokasi, saya akan arahkan budak-budak saya untuk berdepan dengan mereka. Saya yakin polis tak boleh kawal kalau ada pertempuran.

"Tidak mahu dengar polis ke apa. Ini hak kami," katanya kepada pemberita di luar pekarangan Kompleks Kraftangan di sini, Selasa.

Menurut Mohd Ali yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju, beliau akan mengetuai kumpulan berasingan bagi menyertai Perhimpunan Rakyat Bersatu anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) di Padang Merbok.

Ali hadir memberi sokongan kepada ketua kumpulan 'baju merah', Datuk Jamal Md Yunos pada sidang media terakhir mengenai pergerakan mereka esok.

Beliau sebelum ini pernah mencetuskan beberapa kontroversi termasuk ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kekecohan di Plaza Low Yat, Julai lalu.

Ali ditahan kerana didakwa membuat ucapan bersentimen perkauman di luar plaza itu.

Pada 2012, beliau menganjurkan 'senaman punggung' di luar rumah bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk S Ambiga.

Ia sebagai respons kepada peranan Ambiga dalam penganjuran perhimpunan Bersih untuk menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.

Artikel Berikut

Artikel Lain