suria

Kamal Hisham Mengaku Tak Bersalah Dua Lagi Tuduhan Pecah Amanah

Kamal Hisham Ja'afar mengaku tidak bersalah dua lagi tuduhan pecah amanah.

JOHOR BARU: Peguam Kamal Hisham Ja'afar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua lagi pertuduhan pecah amanah berjumlah RM216,000, lima tahun lepas.

Kamal Hisham, 45, yang berpakaian lokap berwarna oren membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Kamal Hisham sebagai ejen iaitu pengarah syarikat Southern Ads Sdn Bhd didakwa pecah amanah dengan meluluskan bayaran RM144,000 dan RM72,000 melalui cek RHB Bank Berhad ke akaun Firma Guaman Tetuan Kamal Hisham  and  Associates, sedangkan tiada bayaran yang patut dibuat kepada firma tersebut.

Kedua-dua pertuduhan terbabit didakwa dilakukan di pejabat Southern Ads Sdn Bhd, Wisma Ibzi, Jalan Damai, Taman Sri Setia, di sini, pada 17 Mei dan 4 Jun 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Johor Saiful Edris Zainuddin dan Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Khoo Kheng Fuei memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Ini kerana tertuduh berhadapan dua tuduhan pecah amanah dan enam pertuduhan berkaitan Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada 3 dan 8 September lepas.

Selain itu, dikatakan ada kecenderungan untuk tertuduh melarikan diri kerana pernah menghilangkan diri selama tiga tahun.

Mohamad Haldar, bagaimanapun, membenarkan tertuduh dikenakan jaminan RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua orang penjamin selepas mempertimbang rayuan barisan peguam S.Prakash, Mohd Ashram Zakaria dan Hazza Khalid.

Mohamad Haldar turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berhampiran seminggu sekali sementara kes itu disebut semula 30 September ini. -- Bernama

Artikel Lain