suria

Pemilik Taska Didakwa Berhubung Kematian Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR: Pemilik sebuah taska pada Khamis dihadapkan di Mahkamah Majistret Selayang di sini berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki di taska itu awal bulan lepas. 

Mofidzawati Idrus @ Darus, 42, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja mendedahkan Farees Ikhwan Fathan, setahun 11 bulan, yang berada di bawah jagaannya kepada bahaya kecederaan sedangkan dia telah dipertanggungjawab menjaganya. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taska Kasih Fidza di No. 32, Jalan 3/16, Taman Pinggiran Templer, Bandar Baru Selayang, Gombak di sini antara pukul 9 pagi hingga 4.50 petang, 3 Ogos lepas. 

Ibu kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zulia Balqish Syed Agil menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. 

Peguam, Rosli Ismail yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin RM3,000 atas alasan punca pendapatan tertuduh terganggu selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat mengarahkan taska itu ditutup sejak 27 Ogos lepas.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu saksi. 

Adik lelaki tertuduh membayar jaminan itu.  

Mahkamah menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan semula kes itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain