suria

Bekas Bendahari Dewan Pemuda PAS Didakwa Atas Tuduhan Menghasut

KUALA LUMPUR: Bekas Bendahari Dewan Pemuda PAS Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut berhubung pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri protes jalanan #KitaLawan.

Mohd Fakhrulrazi yang juga penceramah bebas membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail.

Mohd Fakhrulrazi, yang juga Orang Kena Saman (OKS) didakwa menyebut kata-kata menghasut itu di hadapan Kompleks Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 4.30 petang, 21 Februari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhd Ilmami Ahmad menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan memohon supaya pasport OKS diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Noorazmir Zakaria, mewakili Mohd Fakhrulrazi membantah permohonan pendakwaan supaya pasport OKS diserahkan kepada mahkamah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama ketika dipanggil memberi keterangan di balai polis dan hadir secara sukarela di mahkamah pada Selasa.

"Ini menunjukkan bahawa tidak ada sebarang indikasi OKS akan melarikan diri dan tidak memberi kerjasama kepada mahkamah," katanya.

Mengenai jumlah jaminan yang ditawarkan oleh pendakwaan, Noorazmir berkata kesalahan yang dihadapi anak guamnya tidak melibatkan kesalahan jenayah seperti merompak dan sebagainya yang memerlukan jumlah jaminan tinggi.

"OKS yang merupakan penceramah bebas hanya memperoleh pendapatan berdasarkan sumbangan sukarela daripada pihak yang menjemputnya untuk memberikan ceramah dan dalam kes ini jaminan sebanyak RM1,000 adalah memadai," katanya.

Muhd Ilmami pula berkata jumlah jaminan yang ditawarkan sebanyak RM3,000 adalah kecil, munasabah dan wajar dan memohon jumlah itu dikekalkan, namun mengenai pasport OKS ia terpulang kepada budi bicara mahkamah.


Majistret Muhamad Faizal Ismail membenarkan OKS diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Dis untuk sebutan kes.

Artikel Sebelum

Jerebu: Indonesia Mohon Maaf

Artikel Lain