suria

Rasuah: ASP, Lans Koperal Dipenjara Empat Tahun

IPOH: Seorang pegawai dan seorang anggota polis masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mereka didapati bersalah terhadap pertuduhan meminta dan menerima rasuah, empat tahun lepas.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap ASP Ng Swie Chait, 36, dan Lans Koperal Mohd Syafiq Omar, 32, selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan selesai, dengan syarat notis rayuan difailkan.

Madihah turut memerintahkan jumlah jaminan kedua-dua tertuduh dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM15,000 dengan seorang penjamin.

Beliau bagaimanapun menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman denda atau membayarnya secara ansuran.

Ng dan Mohd Syafiq, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontinjen Perak, didakwa meminta dan menerima rasuah daripada Kong Wan Heng dan isterinya, Leong Suet Lai sebagai dorongan untuk membebaskan pemilik kedai emas itu yang ditahan bagi kes jenayah dan memulangkan sebahagian barang kemas yang dirampas daripada siasatan kes.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontinjen Perak di Lebuh Cecil Rae, Sungai Senam di sini antara 10 malam dan 11 malam 30 Mac 2011.

Bagi setiap pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Madihah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM75,000 bagi setiap kesalahan dan memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman secara serentak mulai Isnin.

Terdahulu, peguam A.Ashok yang mewakili Ng meminta mahkamah menggunakan budi bicara untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh sementara menunggu rayuan.

Katanya sepanjang perbicaraan kes itu, yang menyaksikan pihak pendakwaan memanggil 18 saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan tiga saksi, kedua-dua tertuduh sentiasa hadir di mahkamah dan tidak pernah ingkar syarat jaminan.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Mohd Syafiq memohon agar mahkamah menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah untuk membenarkan denda dibayar secara ansuran.

Beliau berkata ini berikutan jumlah denda yang agak tinggi serta situasi hidup kedua-dua tertuduh, sebagai pencari nafkah tunggal, selepas digantung tugas apabila didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya A.Hafiizh Abu Bakar membantah permohonan itu dan meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana ia dilakukan dilakukan oleh orang yang menerima amanah untuk menjaga kepentingan awam.

Mahkamah, Penjara

Artikel Lain