suria

Dua Didakwa Jual Bahagian Badan Harimau

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dua peniaga warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas enam pertuduhan menjual bahagian badan haiwan yang dilindungi, antaranya dipercayai kulit dan kuku harimau, minggu lepas.

Thangavel Bakkiyaraj, 32, dan Jayankgiri Chinnadurai, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.

Mereka didakwa menyalahi undang-undang dengan mendakwa dan menjual kulit, taring, kuku dan kaki menyerupai bahagian badan harimau, bahagian ekor haiwan jenis rubah dan cebisan 'musk deer' yang merupakan hidupan liar dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Tingkat 3, Pudu Central di sini pada 4 petang, 26 Ogos lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 87 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Hakim Zulqarnain tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana mereka merupakan warga asing selain kesalahan itu adalah serius dan tertuduh juga tidak mempunyai alamat tetap.

Mahkamah menetapkan 21 September ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan Nazarudin Kamarudin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain