suria

Jawatankuasa Khas Ekonomi Akan Ditubuhkan - Najib

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Sebuah Jawatankuasa Khas Ekonomi akan ditubuhkan untuk memastikan kemakmuran ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Objektif jawatankuasa ini adalah untuk memastikan pertumbuhan dan momentum akan berterusan dan menjana kemakmuran dalam tempoh mencabar ini," katanya dalam Persidangan Cukai Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pagi Selasa.

Najib berkata beliau mengadakan mesyuarat tetap dengan kedua-dua pakar ekonomi dari dalam dan luar negara untuk membincangkan keadaan semasa.

Katanya, butiran mengenai jawatankuasa itu akan diumumkan kemudian.

Najib berkata pertumbuhan ekonomi dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini sangat kukuh, dan kerajaan akan memastikan rekod baik itu dikekalkan.

Berikutan ketidaktentuan dan cabaran semasa, Najib berkata beliau menyedari sepenuhnya kedudukan ekonomi domestik, selain perkembangan dan sentimen kewangan dan ekonomi dunia.

"Gabenor bank pusat kita dan pengerusi Suruhanjaya Sekuriti sudah memberikan taklimat kepada saya baru-baru ini," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau juga sentiasa diberikan maklumat terkini oleh wakil daripada sektor ekonomi.

"Minggu lepas, saya bertemu ketua-ketua ekonomi dan penganalisis institusi kewangan tempatan dan asing, dan semalam, pemimpin perniagaan dan korporat.

"Pertemuan-pertemuan ini akan diteruskan dalam beberapa minggu akan datang," katanya.

NTC 2015 yang berlangsung selama dua hari dianjurkan bersama oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Institut Percukaian Berkanun Malaysia.

Najib berkata LHDN telah menetapkan rekod baharu dari segi kutipan cukai dalam tempoh empat tahun yang lepas.

"Daripada RM110 bilion pada 2011, kepada RM125 bilion pada 2012, RM129 bilion pada 2013, dan RM134 bilion pada 2014, yang merupakan kejayaan yang membanggakan.

"Berdasarkan rekod cemerlang LHDN, saya penuh yakin bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas, LHDN akan berjaya memenuhi sasaran mengutip RM871 bilion," katanya.

Najib turut menekankan bahawa asas ekonomi Malaysia masih kukuh.

"Kita mencatatkan pertumbuhan 4.9 peratus pada suku kedua 2015.

"Kita juga sudah mempelbagaikan ekonomi, menjadikan asasnya yang lebih kukuh," katanya.

Perdana Menteri berkata ekonomi Malaysia juga terus merekodkan lebihan dagangan dan akaun semasa.

"Kedudukan pasaran buruh negara juga stabil, dengan kadar pengangguran pada 3.1 peratus sehingga Mei 2015, dan inflasi yang terus rendah," katanya.

Daya tahan sistem kewangan Malaysia juga mantap, kata Perdana Menteri.

"Pasaran kewangan domestik terus berjalan lancar dan aktiviti pengantaraan kewangan berjalan dengan cekap bagi menyokong keperluan pembiayaan dan kewangan ekonomi domestik," kata Najib.



Artikel Lain