suria

GHB Tidak Fikir Mengenai Pilihan Raya, Fokus Tambah Ahli - Mat Sabu

SHAH ALAM: Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan menumpukan pendaftaran ahli dan isu rakyat terlebih dahulu apabila parti baharu itu ditubuhkan sebelum memikirkan mengenai pilihan raya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, masih belum ada perbincangan berkaitan pilihan raya pada masa ini kerana tumpuan adalah mengenai ahli dan isu rakyat.

"Kami belum bincang hal untuk bertanding pada pilihan raya. Sekarang kami tumpu pendaftaran parti kemudian nanti kami nak tambah ahli dan mengangkat isu rakyat," katanya pada sidang media di pejabat GHB di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan ahli GHB, Khalid Samad dalam sidang media berasingan pada Selasa bahawa mereka akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka diadakan pada tahun depan.

Mat Sabu menegaskan bahawa kenyataan Khalid berkaitan PRN Sarawak adalah pandangan Ahli Parlimen Shah Alam itu namun perbincangan mengenai perkara tersebut akan diadakan.

"Itu pandangan Khalid, kita belum buat keputusan. Pandangannya itu nanti kita akan bawa dalam perbincangan. Kita pun tidak tahu bila pilihan raya Sarawak," katanya.

GHB dijangka mengumumkan penubuhan parti Islam yang baharu, Parti Amanah Rakyat pada 31 Ogos ini.

GHB, PAS, Sarawak

Artikel Lain