suria

SPRM Tidak Hentikan Siasatan Dana RM2.6 Bilion

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tidak pernah menutup siasatan berhubung derma politik bernilai RM2.6 bilion yang didebitkan ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menerusi kenyataan pada Ahad, badan itu menafikan bahawa Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed atau SPRM sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan berkenaan isu dana RM2.6 bilion telah ditutup.

"Sebagaimana pernah disebutkan dalam kenyataan media bertarikh 3 dan 5 Ogos lalu, SPRM mengulangi bahawa pihak kami hanya menyebut yang dana RM2.6 bilion adalah sumbangan derma daripada pihak penderma yang berasal dari Timur Tengah dan bukannya dana 1MDB.

"Sehubungan itu, SPRM menekankan siasatan berkenaan kes SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion masih berjalan," kata kenyataan itu.

Sebelum ini SPRM dilaporkan akan memanggil Najib untuk memberi penjelasan mengenai sumbangan derma yang diterima beliau berjumlah 2.6 billion.

SPRM, Derma Politik

Artikel Berikut

Artikel Lain