suria

Malaysia Kutuk Dalang Serangan Bangkok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa berkata kerajaan Malaysia mengutuk dalang dalam insiden letupan bom di pusat bandar Bangkok malam Isnin.

Beliau berkata, tindakan itu adalah satu perbuatan keji memandangkan insiden letupan itu telah meragut nyawa ramai orang yang tidak berdosa termasuk rakyat Malaysia.

"Malaysia mengutuk tindakan kejam ke atas orang awam yang tidak berdosa di  Bangkok serta meragut nyawa dua rakyat Malaysia dan lain-lain. Ingatan dan doa saya buat keluarga mereka," katanya melalui akaun Twitter beliau pada Selasa.

Menurut pihak berkuasa Thai, 20 orang terbunuh manakala lebih 100 orang cedera dalam letupan pada 7 malam tadi, (8 malam waktu Malaysia) yang berlaku di persimpangan Ratchaprasong, berhampiran kuil Hindu terkenal, Kuil Erawan dan kawasan beli-belah mewah di Bangkok.

Wisma Putra telah mengesahkan dua rakyat Malaysia adalah di antara yang menjadi mangsa manakala dua lagi rakyat Malaysia dirawat di hospital.

Bangkok, Letupan

Artikel Lain