suria

Dedah Identiti Pemimpin Umno Cuba Gulingkan Kerajaan - Khairy

MELAKA: Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mahukanidentiti pemimpin Umno yang didakwa berhasrat bergabung dengan anggota Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan didedahkan. 

Menteri Belia dan Sukan itu berkata pendedahan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang rancangan itu adalah serius dan tindakan segera perlu diambil agar cubaan berkenaan dapat dihalang. 

"Kita perlu tahu siapa individu tersebut lebih-lebih lagi ia melibatkan individu dalam Umno yang dikatakan hendak menggulingkan kerajaan dengan carayang tidak sah. 

"Cubaan itu dikaitkan dengan anggota parlimen dan selaku anggota parlimen saya juga ingin tahu siapakah individu tersebut supaya langkah berjaga-jaga dapat diambil agar saya tidak dikaitkan dengannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Bukit Katil di sini, Ahad.  

Turut hadir Ketua UMNO bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam. 

Ahmad Zahid membuat pendedahan itu semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Ampang di Kuala Lumpur, Sabtu.  

Sementara itu, Khairy berkata penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi merangka pelan pembiayaan politik merupakan jalan penyelesaian perkara tersebut dalam kalangan parti politik dinegara ini. 

"Saya memahami soal pembiayaan politik ini adalah hak ketua namun jawatankuasa tersebut dilihat mampu membawa satu sistem yang lebih telus dan menjadi garis panduan dalam isu ini untuk semua parti politik bukan sahaja Umno," katanya.

Sementara itu, beliau mengulangi bahawa kerajaan perlu menerangkan isu derma RM2.6 bilion yang diterima Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak secara berterusan agar penjelasannya diterima rakyat dan anggota Umno di peringkat akar umbi. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan menyiasat dan memintapenjelasan dari Ketua Pemuda Umno Tampin berhubung usul Ketua Pemuda cawangan Kampung Ulu Ladang dalam mesyuarat perwakilan hari ini yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

"Saya dimaklumkan ia adalah usul tergempar sebuah cawangan di Tampin danbukannya pendirian Pemuda Umno Tampin...biasalah dalam mesyuarat perwakilan kita (pemimpin) terpaksa berdepan dengan pelbagai usul termasuk berbentuk kritikan dan pedih tetapi tidak bermakna ia pendirian Pemuda Umno Tampin," katanya.

Khairy Jamaluddin

Artikel Lain