suria

Tarikh Pembukaan Laluan Ke Puncak Kinabalu Diumum Selasa

KUNDASANG: Tarikh pembukaan laluan ke puncak Gunung Kinabalu akan diumumkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal yang diadakan pada Selasa depan, kata Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata, Taman-Taman Sabah (TTS) perlu memanfaatkan tempoh terluang  itu untuk menilai secara keseluruhan pembaikan yang dijalankan mahupun sedang dilaksanakan.

"Dalam tempoh pembaikan ini TTS turut mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar teknikal luar untuk membantu membaik pulih laluan yang rosak itu," katanya kepada pemberita selepas pelepasan pendakian harian Gunung Kinabalu dari Timpohon ke Laban Rata, di sini pada Sabtu.

Katanya, setakat ini dua buah syarikat dari Jepun dan Kanada dipanggil untuk membantu dan syarikat itu mempunyai kebolehan teknikal dalam usaha kerja-kerja penambahbaikan laluan ke puncak.

Dalam pada itu, Masidi berkata pendakian Gunung Kinabalu sehingga ke Panar Raban sahaja akan dibuka kepada orang ramai mulai 1 September depan.

Mengenai program ini, beliau berkata seramai 88 pendaki terdiri daripada kakitangan kementeriannya bersama media menjadi kumpulan pertama mendaki Gunung Kinabalu itu sehingga ke Raban Rata selepas aktiviti pendakian dihentikan sementara akibat gempa bumi pada 5 Jun lalu.

Masidi berkata ia memberi peluang kepada para pendaki untuk mengamati dan menilai pendakian serta memberi maklum balas kepada TTS untuk menaiktaraf laluan pendakian.

Tragedi gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada jam 7.15 pagi itu telah meragut 18 nyawa yang pada ketika kejadian berada di gunung itu.

Gunung Kinabalu

Artikel Lain