suria

SPRM Perlu Sokongan Masyarakat Untuk Memerangi Rasuah

Datuk Mustafar Ali
KANGAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan sokongan dan kerjasama masyarakat untuk memerangi kegiatan rasuah di negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, walaupun tahap kerjasama itu memberangsangkan sejak kebelakangan ini, namun ia boleh dipertingkatkan lagi.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis penerangan dan dialog SPRM bersama masyarakat Cina di Wisma MCA di sini malam Sabtu.

Mustafar berkata orang ramai tidak perlu takut memberi maklumat kepada SPRM kerana nama mereka dirahsiakan.

Mengenai usaha pembanterasan rasuah di sempadan, beliau berkata perkara itu juga diberi tumpuan dengan kerjasama agensi-agensi penguat kuasa berkaitan.

Mustafar berkata, SPRM akan menyiasat secara telus setiap maklumat yang diterima dan tindakan pendakwaan terserah kepada Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, semasa menutup majlis perjumpaan itu, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berharap melalui program sedemikian akan menyedarkan masyarakat di negeri ini pentingnya peranan mereka membantu SPRM memerangi rasuah.

Katanya, rasuah harus dibanteras habis-habisan kerana amalannya boleh mengancam keselamatan negara dan menyekat pembangunan.
SPRM, Datuk Mustafar Ali

Artikel Berikut

Artikel Lain