suria

PKR Ulangi Pendirian Terima Mana-Mana Pihak Sertai Pakatan Pembangkang

Dr Wan Azizah Wan Ismail

TANAH MERAH: PKR mengulangi pendiriannya untuk menerima mana-mana pihak, termasuk Gerakan Harapan Baharu, menyertai pakatan pembangkang.

"Kita terbuka untuk semua sekarang ini, untuk kita sama-sama menentang kezaliman, menentang salah guna kuasa, menentang rasuah," kata Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersempena program Jelajah Amanat Presiden di sini, Jumaat bagi mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din baru-baru ini bahawa PAS bersedia menamatkan hubungan dengan PKR jika parti itu menyertai DAP dan GHB membentuk satu pakatan pembangkang yang baharu.

Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, enggan mengulas lanjut berhubung penyertaan GHB dalam pakatan pembangkang.

"Kita pun tak tahu GHB jadi parti atau tidak. We cross the bridge (when we come to it)... bila dah sampai dekat jambatan, baharu kita cakap. Ini jambatan pun tak nampak lagi...'pre-mature' untuk komen," katanya.-- Bernama

PKR, Wan Azizah Wan Ismail, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain